Wednesday 6 July 2011

Reflexology....

Refleksologi adalah seni pemulihan semula jadi yang berasaskan kepada prinsip asas iaitu tangan, kaki dan telinga dipercayai ada kaitan dan memberi gerak balas terhadap seluruh anggota, kelenjar dan organ badan.

Mengurut sebenarnya memberi tekanan kepada titik refleks dan urutan ini akan meredakan ketegangan serta memperbaiki edaran darah yang secara tidak langsung merangsang anggota berkenaan untuk berfungsi dengan baik. Orang zaman dulu melakukan refleksologi dengan berjalan di atas batu kerikil atau permukaan bumi yang kasar untuk mengembali dan mengekalkan keseimbangan badan.


Refleksologi adalah kaedah perubatan kuno yang diamalkan di China, India dan Mesir sejak beribu-ribu tahun. Lukisan dinding Mesir kuno yang dijumpai di Saqqara dalam piramid Ankhmahor (doktor Mesir kuno) menunjukkan dua lelaki mengurut tangan dan kaki lelaki lain. Malah, kaedah sama diamalkan penduduk asli Amerika Utara dan semakin popular di Eropah dan Amerika Syarikat.
Sebagaimana kaedah tradisional lain seperti urut, akupuntur, tai chi dan ayurveda, refleksologi memberi kesan lebih kurang sama — boleh merangsang tidur lebih nyenyak dan selera makan. Ini secara tidak langsung dapat memberi tenaga kepada seseorang.
 Ada yang mendakwa refleksologi boleh membantu masalah sembelit. Bagaimana perkara ini boleh berlaku tidak dapat diterangkan, tetapi ini antara kriteria utama menyebabkan ramai pengusaha berlumba-lumba menghasilkan mesin refleksologi elektrik.
Refleksologi bukan hanya pada kaki, ia juga boleh dilakukan pada tangan tetapi kaedah ini kurang popular.

Ada pengamal refleksologi mendakwa ia boleh memperbaiki mood kerana bahagian otak yang berhubung dengan kaki terletak bersebelahan dengan bahagian yang menghubungkan alat kelamin! Bagaimanapun, kesan refleksologi berbeza antara individu. Jika anda mengalami masalah sakit kaki, disarankan lebih baik supaya mendapatkan pemeriksaan doktor terlebih dulu kerana ia mungkin disebabkan masalah lain.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...